::: FAFAU TARIK DIRI :::


SEJAK program Melodi diperkenalkan pada 1992, wajah yang menjadi tunjang utama program hiburan sensasi itu silih bertukar ganti. Nama-nama seperti Datuk Mahadzir Lokman, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Aznil Nawawi, Azwan Ali, Raja Azura serta gandingan serasi Wahid (Senario) dan Fara Fauzana.
Paling sinonim dengan rancangan yang disiarkan setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari itu adalah Ogy kemudian muncul Apek sebagai pengacara bersama. Selepas empat tahun, tempatnya digantikan Raja Azura, kemudian diambil alih Sheila Rusly.
Waktu itu timbul kontroversi apabila tugas mengendalikan rancangan itu bertukar tangan dari Raja Azura kepada Sheila Rusly. Ziana Zain juga pernah mencuba melakukan tugas terbabit buat seketika sebelum ia diteruskan Farah Fauzana dan Wahid Senario.
Kontroversi sekali lagi timbul membabitkan pengacara rancangan yang sememangnya panas dengan aktiviti artis dan gosip semasa apabila pihak pengurusan TV3 mengumumkan pengacara Melodi sekali lagi bertukar tangan, baru-baru ini.
Bermula 3 April ini, tempat Farah atau nama sebenar, Farah Fauzana Fadzil, 31, akan diambil alih pelakon semakin mencipta nama, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, 27.
Pelbagai dakwaan kurang menyenangkan timbul apabila Farah memutuskan mahu meninggalkan rancangan itu. Antaranya, pengunduran pemenang anugerah Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk lima tahun berturut-turut itu adalah, dia semakin diva dan pihak produksi tidak boleh bekerja dengannya. Namun, tidak pula kedengaran cerita sama mengenai Wahid yang digantikan dengan Zizan Raja Lawak.

Ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama Rap di Sri Pentas, Bandar Utama baru-baru ini bersama pengacara barunya Dira, Farah menjelaskan apa yang ditimbulkan itu hanyalah spekulasi semata-mata.

Waktu sama, sebab mengapa dia mengundurkan diri sudah pun dinyatakan. Selain sudah tamat kontrak, pemilik Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UiTM) ini mahu beralih angin dan mencuba sesuatu berbeza dalam bidang pengacaraan.

"Kalau dilihat tempoh setiap pengacara yang mengendalikan Melodi, rasanya saya paling lama iaitu enam tahun. Apabila difikirkan mengenainya, saya berasakan sudah tiba masanya saya membuat keputusan untuk meninggalkan rancangan itu.

"Dalam tempoh yang panjang itu, sudah tentu saya ada terfikir bagaimana sekiranya orang sudah tidak suka.

Bagaimana keadaannya sekiranya saya terus mengendalikan rancangan ini untuk tahun ketujuh.

"Sebelum timbul sesuatu yang negatif membabitkan kerjaya, lebih baik saya mengundur diri lebih awal. Malah saya ingat pesan beberapa rakan artis terdahulu yang berkata, kalau mahu diri terus dikenang lebih baik kita berundur sewaktu kata masih dihargai. Saya pegang kata-kata itu dan yakin percaturan dibuat ini bukan satu kesilapan," katanya.

Sebelum membuat keputusan, jelas Farah dia terlebih dulu mendapatkan pandangan dari kedua ibu bapanya juga peminat. Katanya, ibu bapanya terkejut malah bertanya mengapa dia berbuat demikian, apakah kerana mahu mendirikan rumah tangga.

"Saya katakan kepada mereka, saya perlu angin baru kerana sudah mengendalikan rancangan itu terlalu lama. Sudah sampai masanya saya tampil dalam rancangan berbeza. Sebagai pengacara, saya perlu pendedahan baru untuk mencabar kredibiliti dan kreativiti.

"Peminat saya sendiri juga sedih dan mengatakan kenapa saya mahu meninggalkan melodi. Namun, selepas diperjelaskan sebabnya, mereka faham," katanya.

Selain itu Farah menafikan selaku pengacara, dia melaksanakan tugas kerana mahu mencari populariti. Katanya, sekiranya itu yang dimahukan, lebih baik dia berlakon filem atau drama yang pastinya akan lebih mendapat perhatian penonton tempatan. Sebaliknya, agenda hidupnya hanyalah pada kerjaya sehingga dia tidak kisah untuk bekerja siang dan malam.

Selain itu jelas Farah, apabila tidak lagi mengendalikan Melodi, dia punya lebih masa untuk dihabiskan bersama keluarga mahupun teman-teman. Waktu sama, dapat menumpukan perhatian penuh kepada pelbagai aktiviti yang diatur Hot FM. Apatah lagi sebagai penyampai radio yang punya ramai pendengar jelas Farah, banyak acara promosi dan aktiviti bersama pendengar dibuat.

"Mengenai tawaran untuk mengendalikan rancangan baru, memang ada tetapi baru di peringkat perbincangan. Namun saya tidak mahu terburu-buru. Ada baiknya saya menggunakan masa terluang yang sedikit ini untuk dihabiskan dengan merangka kerjaya pada masa hadapan di samping menghabiskan lebih masa bersama keluarga dan teman-teman," katanya.

Bagi Dira pula, dia tidak sangka apabila ditawarkan untuk mengendalikan rancangan hiburan popular Melodi kerana sewaktu dipanggil menghadiri uji bakat, pihak produksi tidak memberitahu bahawa dia akan muncul menggantikan Farah Fauzana.

"Saya pun tidak terfikir akan menggantikan Farah. Siapalah saya hendak dibandingkan dengannya. Waktu sama, saya juga berbisik dalam hati tidak salah untuk mencuba.

"Ketika uji bakat itu, saya fikir akan mengendalikan satu rancangan baru bakal diterbitkan TV3, sehinggalah produksi menghubungi saya dan berkata mahu saya muncul dalam Melodi satu dua episod untuk melihat keserasian.

"Saya sendiri ikut saja arahan. Apabila mereka bertanyakan mengenai jadual kerjaya saya menjelaskan untuk tahun 2011 saya tidak terikat dan agak senggang. Sehinggalah pihak pengurusan mengumumkan bahawa Farah akan meninggalkan Melodi dan tawaran secara rasmi datang. Ia berlaku baru-baru ini. Saya menganggap ia rezeki," katanya.

Dunia pengacaraan bagaimanapun bukanlah asing bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari UiTM ini, apatah lagi sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai wartawan penyiaran dan penyelidik untuk rancangan Beat TV, terbitan Astro.

Dua rancangan dikendalikan Fulus Manis disiarkan secara langsung dan Jom Ronda Bersama Proton menjadi medan terbaik menguji kemampuan.

"Walaupun mempunyai pengalaman, jauh di sudut hati timbul perasaan gementar kerana saya menggantikan Farah yang memang umum ketahui kredibilitinya dalam bidang pengacaraan.

"Waktu sama, Melodi itu sendiri satu rancangan hiburan popular dan punya jutaan penonton. Bagaimana reaksi mereka apabila melihat saya mengendalikan rancangan itu dalam tempoh panjang dan kerap. Ia sedikit sebanyak membuatkan saya gementar," katanya.

Jelas Dira, apabila berada di lokasi drama perkara sama juga timbul tetapi ia tidak sama, apatah lagi kali ini kemunculannya diekori harapan jutaan penonton. Begitupun dia berusaha untuk melaksanakan tugas baru ini dengan baik dan menganggap ia sebagai satu cabaran.

Cabaran lain yang harus dihadapi Dira, apabila harus menyampaikan berita panas dan gosip berkaitan teman-temannya. Malah dirinya juga akan menjadi perhatian. Termasuklah hal berkaitan peribadi. Tambahan pula baru-baru ini Dira sendiri membuat kejutan apabila bertunang dengan juru kamera, Helmi.

"Menyentuh perkara itu, pada saya ia bukan satu masalah asal saja kita sentiasa berpegang kepada kebenaran. Macam saya sendiri, tiada apa yang perlu dirahsiakan dan segala gosip berkaitan peribadi kalau ada yang bertanya, saya akan jelaskan.

"Soal bertunang sebenarnya bukan saya sengaja mahu merahsiakan dari umum tetapi majlis diadakan secara kecil-kecilan dan hanya membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak saja.

"Tambahan pula kata orang, majlis tunang tidak bagus di heboh-heboh. Kita baru merancang dan kalau esok lusa sudah tentu majlisnya, saya akan berkongsi juga dengan peminat," katanya.


>PROFIL
Nama sebenar: Farah Fauzana Fadzil
Panggilan: Fara
Tarikh Lahir: 7 Februari 1980
Tempat Lahir: Hospital Assunta, Petaling Jaya
Status: Bujang
Hobi: Memandu Kereta, Fotografi, Bersukan dan Beriadah.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam (UITM).
Kerjaya: Penyampai Radio, Pengacara dan Pelakon.
Filem: SH3 The Movie, Jin Notti, Gila Gila Bola, Kecoh Betul dan Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami
Drama: Hanya Segeluk Air, Mangkuk Tingkat, Fatamorgana, Kisah Benar, Nur, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series
Pencapaian: Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2005, Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2006, Penyampai Radio Popular ABPBH 2007, Pengacara TV wanita Popular ABPBH 2007, Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2008, Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008, Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2009, Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2009.

>PROFIL
Nama sebenar: Khaidhirah Abu Zahar
Penggilan: Dira
Asal: Merlimau, Melaka
Tarikh lahir: 2 Mac 1984
Status: Ibu Tunggal
Anak: Tengku Anggun Deandra
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam
Hobi: Menunggang Motosikal Berkuasa Tinggi
Kerjaya: Pelakon dan Pengacara
Rancangan Televisyen: Fulus Mania, Jim Ronda bersama Proton dan Melodi
Drama: Delima, Cinta Tanpa Suara, Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Seratus Harijadi, Tower13, Aki Nabalu, Arjuna, Perempuan, Dua Kali Mencintai Mu dan Crossings
Filem: My Indie Rock Darling.
Teater: Kompilasi Vol II (Legasi) dan Tanda.

SUMBER: CLICK HERE

Comments

Popular Posts