::: 3.7 JUTA KUTIPAN HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA SETAKAT INI :::
Terganggu pelat Merong
Oleh Roslen Fadzil
roslen@hmetro.com.my
roslen@hmetro.com.my
TENTU saat ini trio KRU senyum melebar melihat kutipan awal Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) sudah mencecah RM3.7 juta sejak ditayangkan pada 10 Mac lalu. Kata Norman apabila saya menghubunginya tengah hari semalam, dia mengharapkan HMM mampu meraih kutipan RM6 hingga RM8 juta, kalau hendak mengatasi rekod kutipan Cicak-Man (RM5.1 juta).
“Saya sedar semuanya bergantung kepada momentum sambutan penonton pada musim cuti sekolah ketika ini. Kalau ditanya, tentu saya juga mahukan keajaiban filem ini mencecah sehingga RM10 juta. Kalau sambutan hebat, tidak mustahil,” kata Norman.
Bagi yang sudah menonton HMM, tentu bersetuju bahawa ia filem epik pengembaraan yang menghiburkan. Sebuah karya yang cantik hasil kerja tangan anak tempatan walaupun bukan dengan bajet bertaraf Universal Studios atau Dreamworks. Cuba bayangkan kalau kita ada bajet yang lebih besar, tentu HMM akan duduk sama tinggi dengan Gladiator atau Lord of the Rings.
Dengan kecerdikan Yusry dan tenaga produksi terbabit, HMM adalah kesinambungan pada kegagahan produksi Puteri Gunung Ledang (PGL) yang turut menelan bajet luar biasa. Apa yang jelas, kedua-dua karya tidak sama dan ada kelebihan masing-masing. Percintaan dalam PGL adalah antara Puteri Jawa dan Laksamana Melaka sementara HMM pula buat pertama kalinya memaparkan percintaan dua waris empayar besar dunia, Rom dan China, dengan berlokasikan Kedah Tua atau Langkasuka.
Sebagai anak jati kedah, saya tentu berbangga dengan penghasilan HMM walaupun saya mengharapkan garuda yang sebenar datang dalam bentuk burung raksasa seperti mana yang saya baca dan bayangkan sejak kecil lagi. Namun Yusry sudah ‘memanusiakan’ garuda sebagai Khir Rahman bagi menambahkan konflik antagonis dan protagonis.Saya agak ia juga mungkin disebabkan tugas membuat Imej Janaan Berkomputer (CGI) akan lebih rumit dan mahal kerana silap hari bulan, garuda akan nampak kartun dan memakan diri Yusry sendiri.
Saya juga tidak tahu apa komen atau titah peribadi Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kedah mengenai HMM yang ada kaitan dengan salasilah kerajaan purba Langkasuka kerana ketika tayangan diraja HMM dilangsungkan di The Curve, baru-baru ini, pihak media tidak pula diundang. Saya harap HMM akan mendapat komen yang positif hendaknya daripada Istana Anak Bukit.
Baiklah, kalau ditanya secara peribadi, saya berbangga dengan HMM walaupun kepuasan sebenar saya tidak begitu kesampaian. Kalau hendak bandingkan HMM dengan karya Hollywood, ia memanglah tidak wajar tetapi jika mengikut pencapaian anak tempatan, KRU Studios sudah berjaya mencipta satu lagi sejarah dalam sinema Malaysia. Mereka sangat kreatif, berani dan bijak daripada sudut pemasaran.
Saya merasakan kisah membabitkan dua empayar dunia yang gagah ini agak pantas berlaku bagi sebuah karya bertaraf epik. Penceritaannya itu boleh dimantapkan lagi. Pemilihan pelakon terutama Ummi Nazeera (wajah Melayu klasik), Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su dan Khir Rahman, memang saya suka. Stephen Rahman-Hughes memang ada aura antarabangsa kerana Barat bukannya peduli dia bercakap pelat Melayu atau tidak. Namun aura Inggeris dan pelat Stephen itu agak mengganggu tontonan saya. Seharusnya KRU memikirkan dulu pasaran dan jiwa tempatan dalam mengangkat karya purba Langkasuka. Biar bercakap Inggerisnya yang pelat kerana itu akan nampak lebih ‘authentic’ di mata semua.
Saya harus puji babak pertarungan yang cantik namun penggunaan CGI dalam filem ini kadangkala nampak ‘terlalu CGI’. Kapal-kapal yang belayar dalam armada pula kelihatan begitu ‘neat & proper’ manakala kapal Merong nampak tidak cukup besar sebagai mana yang kita pernah lihat dalam kisah pengembaraan seperti Pirates of Caribbean. Saya faham, semua ini berbalik kepada soal bajet. Pun begitu, skor muzik sentuhan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) memang berbaloi dan setanding filem Barat. Syabas buat Edry yang menjalankan tugas skor muziknya dengan baik.
Apa yang kita harapkan, lebih ramai akan keluar menonton HMM di panggung wayang kerana pengalaman menonton di pawagam tidak akan sama berbanding skrin LCD atau LED di rumah. Perlu saya katakan, Merong jauh lebih magis daripada Magika dan saya tabik kepada Yusry dan adik-beradiknya yang mampu menyumbangkan sesuatu yang indah kepada layar perak kita. -- roslenmetro@yahoo.com.
awk, sy dah tgk filem nie.. boleh lah walau pada awlnya boring.. npe lah byk ckp english.. kalo cina ckp la cina.. btul x??
ReplyDelete@Firdaus Kasim
ReplyDeletesy pn dh tgk...tang bercakap tu mcm tak kena ckt...lg2 merong ckp melayu...tetap nampak mcm mat saleh kan...hehehepapepn cite ni membanggakan kita sbg rakyat malaysia...
eh jap smlm ade ajar pasal nape nk ping gengblogger tak bole kan...mcm mane tu? tak reti la...sy ni baru lg dlm dunia blog ni...