::: RADIASI MAKIN MENINGKAT : JEPUN TERANCAM :::


Kombinasi imej satelit, (gambar kiri) merakamkan loji nuklear Daiichi di Fukushima pada 21 November, 2004 dan (gambar kanan) pada 14 Mac. Kelihatan kepulan asap menjulang ke udara setelah reaktor No.3 di loji itu meletup ekoran gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Dalam tempoh empat hari lalu selepas gempa itu, dua reaktor di kompleks nuklear terletak 240 kilometer ke utara Tokyo itu telah meletup mencetuskan krisis nuklear paling serius di Jepun sejak Perang Dunia Kedua. – REUTERS

FUKUSHIMA 15 Mac – Krisis nuklear Jepun yang disifatkan sebagai paling serius di dunia sejak malapetaka Chernobyl di Ukraine pada 1986, semakin meruncing hari ini apabila paras radiasi didapati meningkat ke tahap membahayakan kesihatan di sekitar sebuah loji nuklear setelah beberapa reaktornya meletup dalam tempoh empat hari lalu selepas berlaku gempa bumi Jumaat lepas.
Perdana Menteri, Naoto Kan menyeru penduduk yang tinggal sekitar 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima, 240 kilometer ke utara Tokyo, supaya tidak keluar rumah dan menjimatkan elektrik.
Ketika bercakap mengenai paras radiasi di reaktor No. 4 yang meletup hari ini, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui terdapat kemungkinan jelas kesihatan penduduk boleh terjejas.
“Tidak syak lagi berlainan dengan situasi masa lalu, paras radiasi kini pada paras yang boleh membahayakan kesihatan manusia,” kata Edano.
Kedutaan Perancis dalam kenyataan pada 0100 GMT (9 pagi waktu Malaysia) memberi amaran, angin radioaktif paras rendah boleh sampai ke Tokyo dalam masa kira-kira 10 jam, tetapi pihak berkuasa mengesan paras radiasi melebihi normal lebih awal daripada itu di ibu negara Jepun itu.
Paras radiasi di bandar Maebashi, 100 kilometer ke utara Tokyo mencecah 10 kali paras normal, manakala hanya radiasi paras rendah dikesan di ibu negara matahari terbit itu, yang ‘tidak menjadi masalah’, kata pegawai bandar raya menurut agensi berita Kyodo.
“Berlaku kebakaran dan letupan di reaktor No. 4 dan paras radiasi di kawasan sekitar meningkat dengan ketara, kemungkinan berlaku lagi kebocoran bahan radioaktif bertambah meningkat,” kata Kan dengan wajah suram dalam ucapan ke seluruh negara.
Negara serantau juga semakin bimbang dengan risiko radiasi, termasuk China. Syarikat penerbangan Air China membatalkan penerbangan ke Tokyo sementara kerajaan Jepun mengumumkan zon larangan terbang sejauh 30 kilometer di sekitar reaktor di Fukushima.
Media Jepun mula mengkritik Kan berhubung tindakannya menangani bencana itu dan membidas kerajaan dan operator loji nuklear, TEPCO kerana gagal menyalurkan maklumat lengkap mengenai insiden tersebut, terutamanya risiko terhadap kesihatan.
“Keracunan radiasi yang sangat teruk, seperti yang berlaku di Chernobyl dan kepada pekerja Jepun di stesen tenaga nuklear itu, tidak mungkin menimpa penduduk awam,” kata pakar patologi kimia di Universiti Hong Kong, Lam Ching-wan.
Namun, letupan di reaktor itu boleh menyebabkan penduduk awam terdedah kepada radiasi jangka panjang, yang meningkatkan risiko kanser tiroid dan tulang serta leukemia terutamanya kepada kanak-kanak dan anak dalam kandungan, katanya.
Sejumlah empat letupan berlaku di loji Fukushima sejak kompleks itu mengalami kerosakan dalam gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu, dengan letupan terbaru di reaktor No. 2 dan No. 4, hari ini. – Reuters

SUMBER



Letupan loji nuklear pada tahap bahaya

PARIS 15 Mac - Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis (ASN) semalam berkata, insiden letupan ke atas sebuah loji nuklear di Jepun dikelaskan pada tahap 5 atau tahap 6 mengikut skala antarabangsa dan dianggap berada pada tahap bahaya.
Tahap keselamatan dalam insiden letupan di loji tenaga nuklear di Fukushima itu boleh disamakan dengan tahap keselamatan dalam kejadian kebocoran di loji tenaga nuklear di Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979.
Tahap risiko keselamatan tenaga nuklear mengikut skala antarabangsa diukur pada tahap 1 hingga tahap 7.
Anggaran risiko dalam kemalangan di loji Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu, mengikut penilaian ASN berdasarkan data yang disediakan oleh agensi keselamatan nuklear Jepun menunjukkan ia berada pada tahap 4.
"Tahap 4 dianggap sebagai tahap yang serius.
"Pihak kami menjangkakan insiden tersebut berada pada tahap 5 atau tahap 6," kata Presiden ASN.... pada satu sidang media.
Semalam, seramai 11 orang dilaporkan cedera apabila berlaku letupan gas hidrogen berikutan letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu.
Kejadian itu memburukkan lagi krisis nuklear di negara matahari terbit itu ekoran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda negara itu disusuli dengan tsunami besar, pada Jumaat lalu. - Reuters

SUMBER



Kadar radioaktif terus meningkat

Pasukan perubatan memeriksa kesan radiasi ke atas seorahg bayi di Nihonmatsu, wilayah Fukushima di utara Jepun, semalam. - REUTERS


TOKYO 15 Mac - Keadaan panik menyelubungi bandar raya Tokyo hari ini selepas tahap radioaktif dari loji-loji tenaga nuklear di negara ini terus meningkat ekoran gempa bumi pada Jumaat lalu.
Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk mengambil tindakan meninggalkan bandar ini selain menyimpan pelbagai bekalan terutama makanan.
Beberapa kedutaan menasihati kakitangan dan warganegara mereka meninggalkan bandar raya ini, para pelancong memendekan percutian manakala syarikat multinasional menggesa kakitangan mereka bercuti atau menimbang beroperasi di luar bandar.
Sebuah pasar raya di daerah Roppongi, Tokyo, Don Quixote kehabisan stok termasuk radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur, hari ini setelah penduduk 'menyerbu' pasar raya itu.
Wartawan asing yang membuat liputan berhubung gempa bumi dan tsunami di Sendai sejak Jumaat lalu, juga telah pulang ke negara masing-masing.
Syarikat mencari pekerjaan Britain, Michael Page International juga akan ditutup pada minggu ini.''Saya akan pergi ke Singapura esok dan bekerja di cawangan kami di sana,'' kata salah seorang daripada kakitangan syarikat itu.
Kyodo News berkata, tahap radiasi di Tokyo dan Saitama adalah 40 kali ganda daripada peringkat normal, masih belum berbahaya kepada manusia namun cukup menimbulkan panik di bandar yang dihuni oleh kira-kira 12 juta orang.
Pegawai Pejabat Kaji Cuaca berkata, angin kini bertiup perlahan ke arah barat daya termasuk Tokyo tetapi akan berubah ke arah barat pada lewat petang ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan memberi amaran tahap radioaktif tinggi di sekitar loji tenaga nuklear selepas berlaku letupan di dua buah reaktor.
Beliau berkata, risiko kebocoran lebih banyak radiokaktif semakin meningkat. - Reuters

SUMBER

Comments

Popular Posts