KEPERITAN HIDUP ABG YEN

Bismillah…pembuka bicara, 
Assalamualaikum buat semua, 
Serba ringkas kisah hidup saya, 
Pengalaman di sini harap tak dipersia. 


Tepat jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Sat Tengah berbidankan bidan kampung pada tarikh keramat 4 September 1982, seorang bayi seberat 3.8 kilogram telah selamat dilahirkan. Bayi comel ini diberi nama yang begitu indah sekali iaitu Md Hidayatullah Fazrin bin Che Wil yang memberi maksud “Petunjuk Dari Allah”. Kini bayi comel ini telah pun menjadi seorang jejaka berusia 29 tahun. 
  • “Semasa aku di tingkatan 3, Ustazahku pernah bertanya apa yang dimaksudkan dengan Fazrin… aku cume menggelengkan kepala. Kalau awak nak tahu Fazrin dalam bahasa arab bermaksud gadis pemalu… dan sesuailah dengan awak ni jejaka pemalu”. 
Selepas habis tempoh pantang bagi seorang wanita yang baru lepas bersalin, ibuku membawa aku serta kakakku ke Kuantan Pahang. Walaupun aku dilahirkan di negeri yang mendapat jolokkan “Serambi Mekah” tetapi zaman kanak-kanakku banyak dihabiskan di negeri-negeri luar kerana pekerjaan ayahku sebagai seorang askar memerlukan kami sentiasa hidup berpindah randah dari satu negeri ke satu negeri. Kampung Jaya Gading di Kuantan merupakan penghidupanku yang paling lama di negeri luar iaitu selama 10 tahun dan selebihnya aku pernah tinggal di Taiping, Seremban, Kuala Lumpur dan sekarang tinggal di Kelantan. Penghidupanku bersama keluarga hanyalah sederhana, berapa sangatlah gaji seorang prebet askar untuk bermewah-mewah tambah-tambah hidup di negeri orang. 

Oleh kerana sejak kecil lagi aku dibesarkan di negeri-negeri luar, kepulanganku ke Kelantan pada usia 12 tahun menyebabkan aku langsung tidak dapat berkomunikasi dalam loghat Kelantan. Aku betul-betul berasa diriku begitu aneh apabila berada dalam persekitaran yang semua orang bercakap dalam loghat Kelantan. Sepatah haram pun aku tidak memahaminya, tatkala aku mula bercakap semua kawan-kawan baruku mentertawakanku. Perkataan pertama yang aku mula-mula berlajar ialah “Samah” iaitu 50sen. Walaupun berat hatiku untuk meninggalkan segala-galanya yang telah aku dapat selama 12 tahun ini tetapi aku perlu akur pada pekerjaan ayahku sebagai seorang askar yang sememangnya tidak akan tinggal dalam sesuatu tempat dalam tempoh yang lama. 

Aku sangkakan hujan emas di negeri sendiri lebih baik dari hujan batu di negeri orang rupanya sangkaanku meleset sama sekali kerana disinilah bermula segala titik hitam dalam hidupku yang telah terpahat begitu dalam dihatiku. Mengenangkannya membuatkanku ingin sekali memutarkan semula masa dan waktu untuk membetulkan segala-galanya. Disini jugalah bermula episod yang penuh dugaan dan cabaran di dalam hidupku. “Setiap kejadian yang berlaku ada hikmah disebaliknya” tetapi yang membezakan seseorang manusia dengan manusia yang lain adalah ujian dan dugaan dari Allah S.W.T. 

Sekolah pertamaku di Kelantan adalah Sekolah Rendah Sri Suria 2, aku hanya sempat bersekolah disitu hanya selama 8 bulan sahaja tetapi selama 8 bulan itulah segala macam dugaan telahku tempuh dan ianya sememangnya banyak meninggalkan kesan dalam diriku. Aku menjadi mangsa buli di sekolah, hari-hari yang aku lalui setiap hari di sekolah terlalu teruk bagiku. Persekitaran yang terlalu asing buatku menambahkan lagi sengsaranya hidupku. Berbeza sekali persekitaran di sekolah baruku ini, kehidupanku dikelilingi oleh budak-budak nakal yang begitu teruk sekali disiplinnya. 

Aku perlu akur pada permintaan mereka. Duit belanja sekolahku 50sen sehari kalau tidak pun 30sen, peralatan persekolahanku, buku-buku latihanku dan banyak lagi seolah-olah bukan milikku. Segala-galanya dirampas, aku diugut… pada mulanya sememangnya aku cuba untuk melawan tetapi aku hanya seorang sedangkan mereka terdiri daripada 5 atau 6 orang. Takkan tubuhku kebal untuk melawannya kerana sememangnya pada usia ini aku tidaklah sebesar mana cume seorang budak lelaki yang begitu polos dan kerdil. 

Aku selalu dipukul jika aku cuba untuk melawan ataupun cuba untuk melaporkan pada cikgu. Jika mereka tidak dapat memukulku apa saja yang menjadi miliku pasti akan dirampas atau dirosakkan. Aku selalu mengadu pada ibuku untuk menukarkanku ke sekolah lain tetapi ibuku selalu berpesan “sabarlah, kita orang susah… pergilah sekolah”. Aku terpaksa akur dan berdepan dengan semua ini. Sememangnya begitu pahit untuk ditelan pada usiaku yang baru 12 tahun ini. Hati kecilku sentiasa meraung dan menangis mengharungi semua ini setiap hari. 

Aku makin hilang tumpuan dalam kelas dan juga pelajaran, prestasi akademikku makin hari makin merosot. Aku juga semakin hari semakin pasif dan pendiam di dalam kelas. Aku juga hairan kenapalah cikgu pada ketika itu langsung tidak mengambil tahu berkenaan diriku, kenapa semakin hari semakin berubah. Cikgu juga memperlekehkan aku kerana tidak dapat berkomunikasi dalam loghat Kelantan, aku juga selalu dimarahi nya kerana tidak dapat menyiapkan kerja sekolah. Hanya Allah yang tahu bertapa aku terseksa. 

Walaupun begitu aku tetap gagahinya dan aku bersyukur kepada Allah S.W.T kerana berkat kesabaranku dengan segala macam dugaan yang aku terima aku berjaya juga memperolehi 2A dan 2C dalam peperiksaan UPSR. Itu sudah cukup membanggakan diriku walaupun keputusan tersebut tidaklah begitu bagus. Pada ketika itu aku pernah menyalahkan keluargaku kerana membawa aku tinggal di Kelantan tetapi aku juga redha kerana aku tahu ada hikmah disebalik semua ini. 

Dengan keputusan UPSR yang tidak seberapa itu aku telah diterima masuk ke sekolah yang sememangnya terkenal dengan jolokkan sekolah budak-budak reject iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 2 pada tahun 1995. Di sini aku telah ditempatkan di kelas kedua iaitu 1T2 daripada 7 kelas semuanya… ok la dari dapat kelas yang last-lastkan! Bermula dari sinilah aku tekad pada hari pertama aku menjejak kaki di sekolah ini aku akan bawa perubahan dalam hidupku yang penuh berliku ini. Aku menunjukkan ketekunan dalam bidang akademik, aku mendapat kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan padaku. Dari kelas kedua aku terus mengorak langkah dan akhirnya aku berjaya berada di kelas yang pertama berturut-turut sehinggalah di tingkatan 5. 

Persekitaran makin berubah, kini tiada lagi sesiapa yang berani membuliku, aku merupakan dikalangan pelajar harapan sekolah dan aku juga menjadi pelajar kesayangan sekolah. Sebut sahaja namaku pasti semua akan mengenaliku, aku juga merupakan antara pelajar yang menjadi siulan di sekolah dan tidak kurang juga ada yang cuba memikatku. “Jinak-jinak merpati” nampak sahaja jinak tetapi sukar untuk didekati. Ini kerana peristiwa lalu banyak mengajarku untuk memilih kawan yang betul dalam persahabatan. 

Banyak Perkara yang aku pelajari yang mana banyak mematangkan diriku. Semua guru dan kakitangan sekolah aku dampingi untuk mendapatkan secebis ilmu. Prestasi akademikku semakin hari semakin memberangsangkan di mana setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan aku tidak pernah terkecuali daripada menjadi penerima hadiah bagi kategori pelajar cemerlang di sekolahku. Aku juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang PMR di sekolahku tetapi tidaklah begitu cemerlang untuk melayakkan diri ke MRSM. 

Bohonglah kalau aku tidak merasa kecewa kerana tidak layak ke MRSM, rezeki ada di mana-mana. Walaupun kita hanya bersekolah di sekolah biasa kalau kita usaha kejayaan tetap akan mengejar kita… percayalah. Di tingkatan 4 aku di tempatkan di kelas 4 Sains 1, kelas yang di dambakan oleh semua pelajar. Aku mulai hanyut di dalam arus populariti yang aku ciptanya sendiri di mana ia adalah bertentangan dengan jiwa sebenarku. 

Aku “Honeymoom” habis-habisan, segala jawatan tertinggi di sekolah akulah orangnya. Aku tidak memberi sesiapa pun peluang untuk bergelar Pengerusi… that’s mine!!! Ramai pelajar yang cemburukan kedudukanku di sekolah. Aku mendapat gelaran “Orang yang kedua tersibuk di sekolah selepas pengetua”. Mungkin kerana dulu aku selalu dibuli dan merasakan aku selalu di pulaukan serta diketepikan oleh kawan-kawan menyebabkan aku riak dalam merebut semua kedudukan di sekolah. Sememangnya hidup aku telah jauh berubah, aku bukan lagi aku yang dulu. 

Kesibukkanku sebagai seorang Ketua Pelajar sewaktu di tingkatan 5 menambahkan lagi popularitiku di sekolah. Aku mulai “Low Profile” dalam bidang akademik tetapi aku masih lagi tergolong dalam kumpulan pelajar harapan sekolah. Oleh kerana aku enggan mengaku kalah dalam merebut jawatan Ketua Pelajar, aku telah kehilangan sahabat baikku sendiri yang turut sama mendambakan jawatan itu (kini kami sudah berbaik semula, masing-masing sudah matang). 

Aku tetap belajar seperti para pelajar lain cuma aku tidaklah setekun dahulu, banyak kelas terpaksa aku tinggalkan demi melaksanakan tugas yang diamanahkan padaku. Kesan daripada itu aku mendapat keputusan SPM yang hanya cukup-cukup makan dan untuk menjejak kaki ke menara gading aku terpaksa melupakannya. Aku betul-betul kecewa dan dari situlah aku mulai sedar kesilapanku selama ini. Keegoanku dan kebanggaanku memakan diriku sendiri. Bertambah-tambah kecewa apabila semua kawan-kawanku berjaya diterima ke matrikulasi dan menara gading. 
  • “Aku ingin menjadi mimpi indah, dalam tidurku. Aku ingin menjadi sesuatu yang bisaku rindu”… 
Aku bertekad mulai saat ini aku akan tinggalkan semua itu demi masa depanku yang lebih cerah. Nasib masih mahu menyebelahi diriku, aku berjaya melangkah masuk ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Tanah Merah 1 yang mana sekolah yang agak ternama di Tanah Merah kerana mendapat jolokkan Sekolah Harapan Negara. Segala perancangan dibuat dengan begitu teliti bagi memastikan aku tidak lagi terbabas dan lari daripada landasan yang betul. Dunia yang aku sangkakan indah dahulu akan aku tinggalkan demi mengejar masa depan yang lebih cerah. Cukuplah setakat itu sahaja, yang penting aku telah merasai semuanya walaupun hanya sekali. Aku tidak mahu mempersia-siakan lagi peluang yang telah diberikan kepadaku ini. 

Hari pertama aku melangkah masuk ke sekolah baruku ini, aku berazam yang aku akan berlajar bersungguh-sungguh walau dengan apa cara sekalipun. Aku tidak mahu lagi menjadi pelajar yang dikenali dengan segala macam jawatan dan pangkat, dunia itu telah berlalu buat diriku. Di Sekolah baruku ini aku di tempatkan di kelas kedua dan buat pertama kalinya aku merasakan suatu kehidupan yang tenang tanpa dikenali ramai. Pengalaman lalu banyak mengajarku untuk lebih matang dan lebih berdikari tanpa bergantung pada sesiapa. Hanya kita yang dapat menolong diri kita sendiri bukan orang lain. Aku bukan orang senang untuk hidup goyang kaki sahaja. Kemiskinan yang aku lalui mengajarku untuk terus mara dan mara demi merubah nasib keluarga.

Bahang populariti laluku masih tetap dapat dihidu oleh para guru yang pernah mengenaliku, walaupun aku cuba untuk menghindari diri daripada dihujani dengan pelbagai tawaran pangkat dan jawatan penting di sekolah tetapi aku tidak berjaya menangkisnya. Namun berkat dan petunjuk daripada Allah S.W.T aku berjaya menolak semua itu dengan cara terbaik tanpa melukakan hati para guru yang menaruh harapan padaku. Buat pertama kalinya aku merasakan hidup seperti pelajar biasa tanpa sebarang jawatan ataupun pangkat di bahuku. 

6 Bulan sebelum peperiksaan STPM aku sekali lagi diduga oleh Allah S.W.T, kali ini ianya betul-betul meranapkan jiwa ragaku. Aku hampir-hampir berputus asa dengan ujian ini. Abah terpengaruh dengan “Skim Cepat Kaya”, banyak wang dilaburkan dan bapaku menjadi mangsa sendikit penipuan. Hari-hari yang berlalu seolah-olah di neraka, keluargaku bagaikan retak menanti belah dan di sinilah aku sesungguhnya teruji dan tertekan. Setiap hari pasti ada orang yang akan datang meminta wang pelaburan mereka yang telah abah laburkan bersama-sama wangnya. Kereta, motor dan apa sahaja yang boleh dijual telah dijual untuk membayar balik semua duit yang telah dilaburkan. Apa yang tinggal adalah isteri dan anak-anak, yang tak boleh dijual. Setiap hari pasti akan berlaku pertengkaran antara abah dan mak, aku dan adikku hanya menguncikan diri di dalam bilik setiap hari selepas pulang ke sekolah. Hari-hari aku menangis, tiada siapa hendakku luahkan semua masalah ini. 

Segala-galanya yang pernah aku rasai diragut pergi, keluargaku diistiharkan muflis, 1 sen pun duit tiada. Pada waktu itu kami hidup dengan belas ihsan saudara mara dan bantuan daripada kakaku yang sedang belajar di Universiti Malaya. Kakakku sanggup mengikat perut untuk membantu keluarga, duit pinjaman PTPTN digunakan sedikit untuk membantu keluarga di kampung. Ada duit adalah makan, tiada duit kami terpaksa ikat perut. Dalam keadaan ini aku sanggup berpura-pura kenyang untuk jimatkan makanan yang ada ataupun jimatkan apa sahaja. Masyarakat disekeliling juga tak habis-habis menghina dan memulaukan keluargaku. Bak nila setitis rosak susu sebelanga, begitulah terjadinya pada keluargaku. Seluruh kaum kerabatku juga tidak terlepas daripada tempias ini. 

Dulu aku ke sekolah menaiki motor tetapi kini aku hanya berjalan kaki sejauh 3KM. Berbekalkan hanya air kosong aku ke sekolah, jika dulu aku diberi duit sekolah RM1.50 sehari sekarang aku hanya membawa poket kosong ke sekolah setiap hari sehinggalah tamatnya peperiksaan STPM. Sejak dari itu tiada lagi istilah rehat dalam hidupku. Berat badanku susut dengan mendadak dari 54kg kepada hanya 45kg terlalu kurus dengan ketinggian 170 cm dan ianya disedari oleh rakan-rakan dan para guru tetapi aku sememangnya telah diasuh oleh ibuku untuk tidak suka menyusahkan orang lain jadi aku hanya berdiam diri. Senyuman dan gelak tawaku di sekolah hanyalah pura-pura bagi menutup segala masalah yang aku sedang alami. Tiada seorang pun yang mengetahui masalahku ini. 

Aku dalam dilema sama ada berhenti sekolah dan bekerja atau menamatkan persekolahanku ini. Jiwaku begitu tertekan, mana nak cari duit untuk tanggung semua ini… takkan tubuhku kebal untuk menaggung semua ini. Tetapi terdetik dihatiku akan kata-kata mak yang mahu aku menamatkan persekolahan dan berjaya dalam peperiksaan STPM nanti. 

Aku nekad yang aku akan tetap meneruskan persekolahanku dengan biasiswa yang diberikan oleh pihak sekolah kepadaku demi masa depan yang lebih terjamin kelak. Tatkala tiba di sekolah setiap hari aku cuba untuk melupakan seketika masalah yang aku sedang hadapi ini. Beratnya ujian dari Allah S.W.T ini hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahuinya. Aku tetap redha dengan semua ini kerana aku tahu kepayahan hidup yang kita tempuhi akan membawa kita kepada kenikmatan hidup yang tidak terhingga suatu hari nanti. 

Dengan semangat yang jitu untuk menebus segala kekalahan dan kekecewaan lalu aku memberikan perhatian 200% ketika guru mengajar di dalam kelas. Aku juga sentiasa mengadakan kumpulan belajar yang terdiri daripada 6 orang di mana setiap orang mahir dalam bidang berlainan bagi memudahkan kumpulan tersebut untuk mendapatkan khidmat pakar dalam sesuatu subjek….. bunyi macam pakar sangat tapi pakar budak-budak sekolah je. 

Tidak cukup dengan itu, aku memohon untuk tinggal di asrama (tempat yang selama ini aku geruni) walaupun permohonan aku itu agak terlewat iaitu seminggu sebelum peperiksaan STPM sebenar tetapi pemohonan aku tetap diterima oleh cikgu (guna pengaruh dulu la… orang yang pernah dikenali tidak mudah untuk dilupakan… hehehe.) Ini bagi memudahkan aku megulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan di samping aku dapat menjadualkan masa untuk aku berlajar dan mengulangkaji pelajaran dengan lebih terancang. 

Merasakan kelas tambahan di siang hari tidak mencukupi aku bersama rakan-rakan telah membuat kelas tambahan sendiri iaitu pada sebelah malam si bilik darjah kami. Kami mengulangkaji pelajaran semaksimum mungkin tetapi bukan study hard but study smart. Sepanjang berada di asrama kehadiranku amat dialu-alukan dan aku sedikit pun tidak berasa kekok atau terasa disisihkan, rasa ruginya tak masuk asrama awal-awal. Fikiranku begitu tenang disini sehinggakan terlupa seketika pelbagai masalah yang membelenggu hidupku ini. 

Dengan semangat untuk berjaya yang begitu tinggi, setinggi puncak Everest, aku memberanikan diri untuk mengambil risiko dengan menambah 1 lagi subjek menjadi 5 subjek semuanya. Sekolah telah menetapkan sesiapa yang ingin mengambil lebih daripada 4 subjek tiada guru yang akan membimbing mereka jadi kena belajar sendirilah. Walaupun ada sebilangan pelajar-pelajar yang memperlekehkan keputusanku ini tetapi aku tetap yakin yang Allah S.W.T sentiasa disisiku setiap detik dan ketika. Sebilangan kecil guru-guru juga ada yang mempersendakan keputusanku ini “Awak rasa awak layak ke ambik 5 subjek ni, boleh ke awak ni”. Its ok akanku buktikan pada semua yang aku betul-betul serius dan aku akan tunjukkan kebolehan sebenar yang aku miliki. Aku tahu aku pernah gagal sebelum ini tetapi tidak adil jika aku terus dilabelkan sebagai seorang yang gagal. 

Berkat kesabaran, ketekunan, kesungguhan dan sokongan keluargaku yang tidak pernah luntur selama ini, aku telah berjaya menggengam anugerah pelajar cemerlang STPM 2001 dengan memperoleh 5 Principle dengan 83 unit (sekarang ni dah guna pointer) dan akulah satu-satunya pelajar lelaki yang mendapat keputusan yang amat membanggakan. Kepulanganku ke rumah dengan mebawa trofi pelajar cemerlang STPM telah membuatkan keluargaku begitu terharu dan bangga dengan kejayaan luar biasaku ini. Aku tidak pernah terfikir yang aku akan berjaya sebegini rupa dengan apa yang telah aku alami. Aku mungkin tidak akan berada di sini hari ini jika tanpa sokongan daripada semua yang telah banyak membantuku selama ini. Kini pada tahun 2005 aku adalah Siswazah lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media daripada universiti tertua di Malaysia iaitu Universiti Malaya. Dan kini 2011 aku mempunyai perniagaan sendiri iaitu Faznet Multimedia Computer Centre dan juga merupakan pelajar master (sedang melanjutkan pelajaran) di UKM...

Kisah hidup abg yen ni dikarang pada thn 2001 dan diupdates ckt pada 2005... sorry la abg yen tak sempat nk cek gaya bahasanya dan susunan kata untuk dperbetulkan... abg yen just copy paste dr file yg pernah abg yen save dulu... byk juga abg yen terpaksa cut of sbb terlalu berbentuk peribadi... harapan abg yen semoga kisah abg yen ni memberi sedikit sebanyak panduan buat korang semua... thanx to cikgu rahimah sbb beliau telah bukukan kisah hidup abg yen untuk djadikan satu naskah untuk panduan para pelajarnya... TAMAT

Comments

Popular Posts